Anwar “Cakap tak serupa bikin”: Seru anak muda lawan rasuah, tapi siapa bersuara lantang disiasat polis | Madani News

Anwar “Cakap tak serupa bikin”: Seru anak muda lawan rasuah, tapi siapa bersuara lantang disiasat polis

Anwar “Cakap tak serupa bikin”: Seru anak muda lawan rasuah, tapi siapa bersuara lantang disiasat polis
Hari ni, Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberikan keterangan tentang ucapan beliau ketika Perhimpunan Turun Azam Baki.

SERUAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anak muda agar berani menentang rasuah kini menjadi bahan ejekan apabila anak muda yang menyahut seruan itu disiasat pula oleh pihak berkuasa.

Kecaman paling lantang datang daripada kumpulan belia bebas Mandiri yang menyifatkan pendirian kerajaan sebagai “hipokrit” dan menindas kebebasan bersuara, selepas pemimpin MUDA, Amira Aisya, dipanggil polis susulan penyertaannya dalam perhimpunan antirasuah pada 24 Mei lalu.

“Bila PM kata anak muda patut berani bersuara menentang rasuah, itu yang kami buat. Tapi kami pula dipanggil untuk siasatan. Ini hipokrasi,” kata Pengarah Mandiri, Wong Kueng Hui.

Ironinya, tindakan terhadap Amira berlaku ketika pentadbiran Anwar kononnya sedang mengangkat reformasi institusi dan ketelusan, dua janji utama semasa PRU lalu.

Namun realitinya, suara yang menuntut reformasi — malah secara aman — ditekan dengan siasatan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang kini digelar ramai sebagai “Akta Sakit Hati“.

Amira sendiri membangkitkan persoalan besar: jika seorang pemimpin muda boleh disiasat hanya kerana berucap menentang Ketua Pesuruhjaya SPRM, apa pula nasib rakyat biasa yang menyuarakan kritikan?

“Kami undi PH kerana ingat mereka berbeza dengan kerajaan lama. Tapi nampaknya mereka sama sahaja — kalau tidak lebih teruk,” katanya.

Kenyataan ini menyentuh nadi kekecewaan penyokong reformasi. PH yang dahulu sinonim dengan perjuangan hak asasi, kini disamakan dengan rejim sebelumnya. Malah, desakan agar kerajaan memansuhkan Akta 233 dan berhenti menggunakan undang-undang zalim ini masih belum dilayan.

Penganalisis melihat insiden ini sebagai tanda bahaya: kerajaan Anwar mungkin semakin terpisah dari denyut rakyat, khususnya golongan muda. Sementara slogan “Madani” terus dicanang, tindakan kerajaan terhadap suara akar umbi menimbulkan persoalan tentang keikhlasan sebenar.

Lebih-lebih lagi apabila Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 tetap dijadualkan 28 Jun ini, sebagai isyarat jelas bahawa rakyat — khususnya anak muda — tidak akan berundur.

Anwar kini berdepan dilema kredibiliti apabila kononnya pejuan reformasi, tapi melakukan tindakan bertentangan. Seruan lawan rasuah disambut rakyat, tapi dibalas dengan kertas siasatan yang terus memperkuatkan persepsi umum “Anwar: Cakap Tak Serupa Bikin”.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews