Kejayaan orkestra MAWO di Praque harumkan nama FELDA dan negara – Shabery Cheek

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang telah menyumbang dan memberikan sokongan atas kejayaan membanggakan MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dalam Festival Antarabangsa Wind Orchestra Prague 2025 yang berlangsung di Republik Czech semalam.
Menurut Pengerusi FELDA, Datuk Seri Shabery Cheek, kemenangan MAWO bukan sekadar pencapaian dalam bidang muzik, tetapi menjadi simbol iltizam, semangat dan jati diri generasi muda warga FELDA.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak dan cucu-cucu FELDA mampu menjulang nama negara di pentas dunia, sekali gus membuktikan bahawa impian besar boleh direalisasikan dengan usaha dan sokongan padu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam ucapan penghargaan itu, beliau turut menyampaikan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas sokongan berterusan. Turut dihargai ialah Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.
MAWO, yang dianggotai pelajar-pelajar dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak, berjaya menarik perhatian juri dan penonton antarabangsa dalam pertandingan berprestij itu. Kejayaan mereka turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan individu yang menjadi tulang belakang misi ini.
Antara penaja utama yang disebut ialah U Mobile, yang dikatakan memberikan komitmen sejak awal dalam memastikan MAWO dapat menyertai pertandingan ini. FELDA turut merakamkan penghargaan kepada FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd, serta beberapa lagi syarikat lain yang membantu melancarkan perjalanan pasukan orkestra berkenaan.

Penghargaan khas turut ditujukan kepada guru pembimbing, Cikgu Raja Muzafar Shah Raja Abdullah, serta ibu bapa pelajar yang memberikan dorongan dan semangat sepanjang proses latihan dan pertandingan. Shabery juga menyebut peranan Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM, yang menjadi penasihat dan sumber inspirasi kepada MAWO.
“Kerjasama merentas sektor telah membuktikan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita bukan sahaja mampu mencipta kejayaan, tetapi juga mengharumkan nama FELDA dan Malaysia di mata dunia,” tambah beliau.
Festival yang berlangsung di Prague itu menghimpunkan penyertaan dari pelbagai negara Eropah dan Asia, menjadikan pencapaian MAWO lebih bermakna sebagai wakil tunggal dari Malaysia.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews