MBM bantah had umur belia bawah 30 tahun - Belum bersedia atau takut hilang kuasa? | Madani News

MBM bantah had umur belia bawah 30 tahun – Belum bersedia atau takut hilang kuasa?

MBM bantah had umur belia bawah 30 tahun – Belum bersedia atau takut hilang kuasa?
DARIPADA 99,139 pemegang jawatan pertubuhan belia yang berdaftar, lebih 54% kini berumur di bawah 30 tahun. - Gambar hiasan

KETIKA negara sedang bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan generasi muda menjelang tahun 2026, isu penurunan had umur belia kepada 30 tahun kembali menjadi polemik. Lebih mengejutkan, ia dibangkitkan semula oleh segelintir pemimpin pertubuhan belia — termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM) — meskipun dasar tersebut telah diluluskan Parlimen sejak tahun 2019 dan diberikan masa transisi hampir sedekad.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sebelum ini pelaksanaan had usia 30 tahun bagi belia di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan bakal menyaksikan 90 peratus pertubuhan belia berisiko dibatalkan kerana gagal mematuhi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata pihaknya dan sebahagian besar pertubuhan belia mengakui bimbang tidak dapat memenuhi permintaan itu.

Katanya, ini kerana kira-kira 10 peratus sahaja dari 8,272 pertubuhan belia seluruh negara yang selesai meminda perlembagaan pertubuhan masing masing seperti yang diminta, manakala hanya 54 peratus sahaja kepemimpinan pertubuhan belia adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.

Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz

Sikap enggan berubah ini mengundang kritikan pedas daripada mantan Naib Presiden MBM sendiri, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, yang menyifatkan permintaan untuk menangguhkan peraturan itu dengan alasan persatuan belia “belum bersedia” sebagai retorik lama yang sudah basi.

“Tahun 2018 minta tangguh, 2019 minta lagi, 2021, 2023, 2024 pun sama. Sampai bila kita nak bagi alasan ‘belum bersedia’? Kalau tak mula, sampai bila nak tahu anak muda mampu pimpin?” tegasnya.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dalam ucapannya sempena Sidang Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada 10 Julai lalu, mempertegaskan komitmen kerajaan untuk tidak berganjak daripada pelaksanaan penuh Akta A1602 mulai 1 Januari 2026.

“Had umur belia tidak akan berganjak kerana ia mencerminkan kesediaan negara untuk meremajakan kepimpinan belia secara tuntas. Jika tidak bermula, bila kita nak bermula?” kata beliau lantang.

Hujah beliau tidak datang kosong. Sejak 2019, KBS telah menjalankan lebih 100 siri advokasi dan sokongan, termasuk Kembara JOM, pensijilan kemahiran untuk bekas pemimpin belia, kursus tadbir urus dan pengurusan pertubuhan — semuanya bagi memastikan transisi ini berjalan licin.

Ketegasan KBS ini disambut baik oleh ramai aktivis akar umbi yang sudah bersedia menyerahkan baton kepada generasi baharu. Ironinya, suara yang menentang pula datang daripada organisasi seperti MBM — yang sepatutnya menjadi pemudah cara reformasi belia, bukan benteng penghalang.

Sherhan Nizam mendedahkan bahawa MBM sendiri telah terlibat dalam perbincangan isu had umur ini sejak 2015, malah menerima dana khas kerajaan berjumlah RM5 juta setahun. Namun, bila dasar ini tiba ke garisan pelaksanaan, mereka seolah-olah berpatah balik.

“Ini bukan masa nak undur ke belakang. Ini masa untuk move forward, pass baton kepada generasi baharu,” tegas Sherhan.

Daripada 99,139 pemegang jawatan pertubuhan belia yang berdaftar, lebih 54% kini berumur di bawah 30 tahun, menurut data Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Malah, banyak pertubuhan — termasuk GPMS, MIYC dan PKPIM — telah lama beralih kepada model kepimpinan muda.

Ini membuktikan bahawa penurunan had umur bukan sahaja praktikal, malah telah terbukti boleh dilaksanakan dengan baik. Yang masih takut hanya mereka yang belum bersedia untuk melepaskan kerusi.

Jangan guna nama belia jika tidak berjiwa muda

Isunya kini bukan tentang kemampuan belia, tetapi tentang ketakutan segelintir individu veteran dalam pertubuhan belia yang tidak sanggup berundur. Mereka mahu terus mengawal struktur belia dengan wajah tua, slogan muda.

“Kita kena berjiwa besar untuk mencari pelapis dan melepaskan jawatan walaupun masih ada umur yang sesuai,” kata Sherhan yang sendiri telah berundur sebelum tamat penggal.

Kerajaan sudah buat keputusan. Undang-undang sudah digubal. Rakyat sudah beri mandat. Sekarang bukan masanya untuk tarik brek kecemasan hanya kerana segelintir tidak mahu berubah. Jika MBM atau mana-mana pertubuhan belia tidak bersedia, masanya sudah tiba untuk pertubuhan baharu yang progresif dan terbuka ambil alih peranan tersebut.

Belia Malaysia sudah bangkit. Jangan bazir masa menoleh ke belakang. Masa depan tidak menunggu mereka yang takut berundur.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews