Tarif baharu Amerika Syarikat ke atas Malaysia diumum esok – PM Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memutuskan untuk mengumumkan kadar tarif baharu ke atas Malaysia esok.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu diputuskan menerusi panggilan telefon daripada Trump pada 6.50 pagi tadi.
“Kami turut membincangkan soal tarif atas semangat dan prinsip perdagangan bebas serta pelbagai siri rundingan yang digerakkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pihak Wakil Perdagangan dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS).
“Kita berdoa ia (keputusan) tidak akan membebankan ekonomi negara kita,” kata beliau dalam ucapan Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini. AS akan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula 1 Ogos 2025.
Anwar berkata Trump turut menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.
“Walaupun dalam respons saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan sikap positif kedua-dua negara serta kerjasama yang ditunjukkan AS terutamanya Trump dan Xi Jinping (Presiden China),” kata beliau.
Beliau berkata Presiden AS itu turut mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
— BERNAMA