Mahkamah Persekutuan tetap 13 Ogos depan keputusan rayuan titah adendum Najib | Madani News

Mahkamah Persekutuan tetap 13 Ogos depan keputusan rayuan titah adendum Najib

Mahkamah Persekutuan tetap 13 Ogos depan keputusan rayuan titah adendum Najib

 MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 13 Ogos ini bagi keputusan berhubung rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai kewujudan dokumen tambahan didakwa membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan rumah.

Peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengesahkan tarikh keputusan itu kepada Bernama.

Pada 9 Julai lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah menangguhkan keputusan rayuan itu untuk diteliti.

Pada 28 April lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan AGC merayu keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan dokumen tambahan yang didakwa membabitkan Najib.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan permohonan Najib berkaitan dakwaan kewujudan dokumen tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan berdasarkan merit.

Keputusan ini sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menolak permohonan Najib mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen berkenaan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan kesalahan dalam kes SRC International Sdn Bhd, susulan penolakan rayuan dan permohonan semakannya oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada Februari 2023, Lembaga Pengampunan meringankan hukuman asal Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.