Cuepacs tolak cadangan import jururawat Indonesia, gesa percepat lantikan anak tempatan

KERAJAAN perlu mempercepatkan proses pelantikan jururawat tempatan bagi menangani isu kekurangan kakitangan sektor perubatan, bukannya ‘megimport’ tenaga dari luar negara, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata mekanisme itu lebih mampan berbanding pengambilan tenaga dari luar negara seperti dicadangkan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S Widiyanto.
Sigit dilaporkan media mencadangkan kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari republik itu berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja sektor perubatan.
“Masih ramai graduan jururawat tempatan telah menamatkan pengajian, termasuk lulusan Peningkatan Secara Lantikan (PSL) tetapi belum menerima tawaran pelantikan tetap atau kontrak walaupun ada menunggu sehingga lapan bulan.
“Penyelesaian jangka panjang seperti menambah bilangan pengambilan pelatih jururawat di institusi latihan Kementerian Kesihatan, memperluas peluang PSL, serta meningkatkan insentif dan kemudahan untuk jururawat tempatan lebih tepat dan mampan berbanding mengambil jururawat dari luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Selasa lalu, Sigit berkata langkah itu akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat, manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.
Menurutnya, jururawat dari Indonesia kini diiktiraf di banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia dan Jerman, membuktikan mereka berkemampuan berkhidmat di Malaysia.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut sama ada jururawat itu dicadangkan ditempatkan di hospital kerajaan atau swasta.
Namun, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menolak cadangan itu dan meminta jururawat masyarakat yang tamat PSL dan masih menunggu lantikan tetap diutamakan untuk menampung kekosongan perjawatan itu di hospital kerajaan.
Mengulas lanjut Adnan berkata jururawat tempatan telah menjalani latihan ketat mengikut piawaian KKM, sekali gus menjamin mutu perkhidmatan kesihatan awam, selain lebih memahami budaya, agama dan sensitiviti sosial masyarakat Malaysia.
“Cuepacs sedia berbincang dengan KKM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu kekurangan jururawat tanpa menjejaskan peluang pekerjaan dan kebajikan jururawat tempatan,” katanya. – MADANI NEWS