Kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin paling dahsyat – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin adalah antara yang paling dahsyat kerana membabitkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita selain kemusnahan rumah serta harta benda.
Menyifatkan perkara itu sebagai satu kegagalan manusia yang amat memalukan, Perdana Menteri berkata komuniti global kini kehilangan nilai dan sikap asas yang diperlukan untuk mendukung mempertahankan kemanusiaan.
Anwar berkata sebarang rundingan tidak boleh diadakan dengan pihak yang menceroboh sesebuah negara serta melakukan kekejaman terhadap rakyatnya dan Malaysia tetap tegas dalam memerangi Islamofobia menerusi dakwah selain mempromosi nilai-nilai Islam.
Bercakap kepada wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya, Anwar sekali lagi menggesa pemimpin dunia agar mendukung nilai-nilai kemanusiaan dengan menghentikan kekejaman serta sebarang bentuk penindasan dan kekejaman di Gaza
Beliau berkata pendirian Malaysia amat jelas iaitu menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan, penindasan, kekejaman dan genosid tanpa mengira negara yang bertanggungjawab.
“Kami merayu atas dasar perikemanusiaan. Ini adalah pendekatan yang betul dalam usaha memelihara nilai-nilai kemanusiaan… Malaysia kekal konsisten dalam meluahkan kecaman (terhadap genosid di Gaza) dan kami telah menyuarakannya secara terbuka.
“Saya telah merayu kepada semua presiden dan perdana menteri termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump agar menghentikan sekurang-kurangnya pembunuhan ini kerana beliau mempunyai pengaruh dan orang akan menghormati serta mengenang sumbangannya,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka tanpa sebarang prasyarat sebelum matlamat itu dapat direalisasikan.
Susulan itu, beliau berkata Malaysia tidak begitu selesa dengan hasil Deklarasi New York yang menetapkan prasyarat bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan belum dibincang dengan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.