‘’Ada kecederaan seperti tersebar di media sosial’’ – Peguam keluarga Zara Qairina  | Madani News

‘’Ada kecederaan seperti tersebar di media sosial’’ – Peguam keluarga Zara Qairina 

‘’Ada kecederaan seperti tersebar di media sosial’’ – Peguam keluarga Zara Qairina 

PEGUAM  Shahlan Jufri mengesahkan terdapat kecederaan pada Allahyarham Zara Qairina Mahathir seperti mana  yang tersebar dalam media sosial hasil pemerhatiannya sepanjang proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) semalam.

Shahlan  yang merupakan peguam kepada keluarga Allahyarham berkata, sepanjang lapan jam di bilik  bedah siasat tanpa makan dan minum, beliau memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan oleh pasukan forensik.

“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.

“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya kepada wartawan di  Jabatan Forensik HQEI, lapor Sinar Harian.

Beliau turut menegaskan proses bedah siasat berjalan dengan telus tanpa campur tangan pihak luar.

“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja.

“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tegasnya.

SEMENTARA ITU, di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who sekali lagi menegaskan bahawa  Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan melindungi sesiapa termasuk golongan kenamaan sekiranya didapati terlibat dalam kes Allayharham Zara Qairina.

Katanya, pihaknya juga bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes berkenaan.

“Isu ini dalam siasatan polis dan pihak KPM akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan. Cuma KPM hendak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana isu yang berkaitan dengan isu buli, itu nombor satu.

“Nombor dua, KPM tidak akan dan tidak pernah pun cuba untuk melindungi sesiapa seperti yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai spekulasi wujud penglibatan golongan kenamaan melibatkan kes Zara Qairina.

 Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal keesokannya di HQE.

 Kematian Allahyarham Zara Qairina mendapat perhatian apabila pelbagai pihak mengesa supaya siasatan telus dijalankan bagi mengetahui punca sebenar pelajar itu meninggal dunia.

Jabatan Peguam Negara yang mengembalikan kertas siasatan kepada polis pada 1 Ogos lalu mengarahkan bedah siasat dilakukan. Proses itu berlangsung semalam selama 8 jam di HQE