Demonstrasi Maritim Malaysia jadi tarikan Utama Sua Mesra KDN di Bandar Baharu | Madani News

Demonstrasi Maritim Malaysia jadi tarikan Utama Sua Mesra KDN di Bandar Baharu

Demonstrasi Maritim Malaysia jadi tarikan Utama Sua Mesra KDN di Bandar Baharu

AKSI berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka mencuri perhatian pengunjung Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan diadakan di Dataran Bandar Baharu, Kedah pada Sabtu ini.

Dalam demonstrasi itu, orang ramai berpeluang menyaksikan kecekapan STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin milik Maritim Malaysia ke sungai Bandar Baharu, sebelum menaiki jetski yang sedia menanti di permukaan air. Aksi dramatik pasukan perenang penyelamat (rescue swimmer) yang melaksanakan misi menyelamat mangsa di air turut akan dipertontonkan.

Selain pertunjukan Maritim Malaysia, program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang itu turut menampilkan pelbagai perkhidmatan mesra rakyat daripada agensi di bawah KDN. Antara tarikan ialah tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, kemudahan bas MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta khidmat nasihat berkaitan penipuan dalam talian (Scam Alert) oleh PDRM.

Masyarakat setempat juga berpeluang menyertai aktiviti lain termasuk Jom Exchange Al-Quran, jualan produk Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khidmat gunting rambut percuma oleh anggota RELA serta persembahan pancaragam Maritim Malaysia.

Menurut Maritim Malaysia, program Sua Mesra bukan sahaja menjadi jambatan mempererat hubungan antara rakyat dengan agensi keselamatan negara, malah membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menyantuni masyarakat melalui penglibatan langsung di lapangan.

Majlis Sua Mesra di Bandar Baharu dijangka disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta barisan ketua jabatan di bawah kementerian.

Masuk adalah percuma dan program terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews