Usah diceroboh laluan kuning itu!


‘LALUAN KUNING’ diwujudkan di Kuala Lumpur bermatlamat memudah dan melancarkan pergerakan pengangkutan awam, khususnya bas, agar tidak tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di ibu kota.
Laluan ini mudah dikenal dengan garisan kuning tebal sepanjang jalan, di sebelah paling kiri jalan. Antara tempat yang sudah ada laluan ini ialah Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang. Ia bakal diperluas ke kawasan lain.
Walau pun sudah lama diperkenal, ramai warga Kuala Lumpur yang sengaja tidak ambil penduli. Mereka menceroboh laluan tersebut. Laluan khas yang sepatutnya melancarkan perjalanan bas agar tidak tersangkut dalam kesesakan dengan kenderaan lain, tidak mencapai matlamat.
Bas ialah pengangkutan awam penting, murah serta digunakan ramai warga kota. Namun rungutan yang kerap terdengar ialah jadual perjalanan bas tidak lancar. Waktu sampai ke stesen pangkalan atau ke destinasi tujuan tidak menentu lantaran kesesakan. Kerana itu laluan kuning diwujudkan sebagai usaha mengatasi masalah ini.
Pada era bas Intrakota tahun 1990-an, laluan bas pernah diwujud untuk melancarkan pergerakan bas syarikat berkenaan. Tetapi beberapa tahun kemudian ia dimansuh. Kini dalam era perkhidmatan bas Rapid, ia diadakan kembali dengan matlamat sama.
Tetapi ramai warga kota sengaja tutup mata dengan laluan kuning walau pun memahami fungsinya. Kerana itu sering dilihat kenderaan lain menceroboh masuk dalam laluan kuning, terutama ketika waktu puncak. Semua hendak cepat tanpa mematuhi peraturan jalan raya.
Akibat gangguan ini, hasrat murni memberi laluan lancar dan selesa untuk bas tidak tercapai. Masalah kelewatan bas sukar diatasi. Ini boleh memberi impak negatif kepada orang ramai. Mereka tidak berminat menaiki bas yang jadual perjalanan sukar di ramal.
Teksi yang juga pengangkutan awam popular di ibu kota, juga berhadapan masalah kesesakan lalu lintas. Walau pun lebih selesa dan ada privasi, tiada jaminan kelancaran pergerakan di jalan raya.

Justeru pengguna suka menaiki pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan komuter. Kelancaran pengangkutan ini lebih terjamin kerana mempunyai laluan sendiri.
Usaha kerajaan mewujudkan rangkaian sistem pengangkutan awam serta menambah baik perkhidmatan dari masa ke masa adalah untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang masih membelenggu ibu kota hingga kini.
Bukan mudah mengatasi masalah ini. Setiap bulan, setiap tahun pendaftaran kenderan baharu terus meningkat sedangkan keadaan jalan tetap sama. Membina jalan baharu atau menambah baik jalan sedia ada mengambil masa lebih lama berbanding pantasnya pertambahan kenderaan.
Kerana itu kesesakan sukar dihakis. Cuma ia mungkin mampu diminimumkan jika warga kota mengubah minda dengan lebih menggunakan pengangkutan awam dan meninggalkan kenderaan di rumah apabila keluar bekerja atau menjalankan pelbagai urusan lain.
Orang ramai pun sebenarnya lebih suka menggunakan pengangkutan awam kerana tidak perlu tegang minda memandu dalam kesesakan atau mencari tempat parkir. Namun ini hanya dapat dicapai jika sistem pengangkutan awam benar-benar efektif.
Kesedaran sivik yang rendah di kalangan ramai pengguna jalan seperti menceroboh laluan kuning bas adalah antara punca yang membantutkan usaha mewujudkan pengangkutan awam yang efektif dan disukai ramai.
Jika sistem lancar, tidak perlu kempen tidak perlu pujukan. Orang ramai sendiri akan mencari pengangkutan awam. Untuk merealisasikannya, orang ramai sendiri mesti membantu.
Misalnya, jika melalui jalan yang ada laluan kuning, jangan menceroboh laluan itu, kecuali pada waktu di luar penguatkuasaan. Ubah minda. Jadilah masyarakat berdisiplin. – MADANI NEWS