Gagal ke universiti pilihan riuhnya satu kampung | Madani News

Gagal ke universiti pilihan riuhnya satu kampung

Gagal ke universiti pilihan riuhnya satu kampung
UNIVERSITI Malaya, universiti tertua dan berprestij sering jadi pilihan calon yang memohon memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

DALAM dunia ini ada spesis makhluk yang selalu perasan dialah yang terbaik berbanding yang lain. Kerana itu dia perlu diberi keistimewaan dalam semua hal. Jika mohon kerja, mesti dapat. Jika ada ruang naik pangkat, dia mesti diutamakan. Dalam penilaian kerja dia mesti dapat merit.

Begitu juga kisahnya dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Fenomena sama dihadapi. Ada calon yang dapat keputusan cemerlang berandaian mesti diterima masuk ke universiti pilihan pertama, mesti diberi kursus pilihan pertama.

Cuma dia terlupa, walau pun dia mungkin hebat, ada calon lain lebih hebat dan memperoleh keputusan lebih cemerlang. Jika si bijak pandai ini merasakan dia ‘cream’, maka ada lagi yang terbaik daripada yang terbaik, atau ‘cream of the cream’.

Apabila tidak beroleh universiti pilihan dan kursus yang dikehendaki, mulalah heboh menjaja rasa tidak puas hati. Bagai ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Biasanya puncak keriuhan ini ialah dengan mengadu dan meminta tolong pemimpin politik.

Pemimpin politik tertentu yang melihat ini sebagai peluang untuk menonjol diri dan menjadi hero, dengan senang hati tampil menjadi pembela. Dia sendiri mungkin tidak tahu cerita sebenar kenapa calon berkenaan tidak diterima masuk ke universiti diminta atau dapat kursus yang dikehendaki.

Calon yang bergayut kepada orang lain hanya mempamerkan sikap mendesak dan tiada keyakinan diri. Dia mahu mahu apa juga kehendak dipenuhi. Maklum pelajar cemerlang, perlu layanan istimewa! Namun ramai pelajar lain yang lebih cemerlang tidak pula ‘demanding’ seperti dia.

Kisah calon tidak berpuas hati sudah dianggap biasa. Setiap tahun, pada musim kemasukan pelajar baharu ke IPTA, ada sahaja rungutan kedengaran. Yang tidak dapat tempat merungut, yang dapat tempat tetapi gagal memasuki universiti dan kursus pilihan pertama juga merungut.

Akhirnya timbul pelbagai dakwaan, kononnya sistem pemilihan tidak betul, ada unsur pilih kasih, pelajar cemerlang dipinggirkan serta pelbagai dakwaan tidak berasas lantaran didorong rasa kecewa.

Sudah bertahun-tahun sistem pemilihan masuk ke IPTA diseragam melalui Unit Pusat Universiti (UPU). Ia menggantikan sistem permohonan memasuki ITPA secara terus kepada IPTA berkenaan seperti diamalkan sebelumnya.

Sistem lama menyebabkan ada pelajar yang memohon terus kepada IPTA berasingan memperoleh tempat di lebih sebuah IPTA. Kerana itu sistem ini menjejaskan peluang pelajar lain mendapat tempat.

Justeru UPU diperkenal untuk menambah baik pemilihan pelajar. Permohonan dikendali secara berpusat melalui UPUOnline. Tambahan jumlah IPTA kini lebih banyak daripada dahulu. Kerana itu permohonan perlu diselaras, dinilai dan ditapis dengan teliti agar semua calon berpeluang bersaing memperoleh tempat.

Perlu diingat, setiap tahun ribuan calon memohon sedangkan tempat yang ditawarkan terhad. Tahun ini 109,866 calon yang layak memohon. Seramai 78,883 daripadanya atau 71.8 peratus ditawarkan pengajian peringkat ijazah saja muda sesi 2025/2026.

Kerana jumlah permohonan melebihi tempat, ramai tidak terpilih. Yang terpilih pula tidak semestinya dapat pilihan universiti pertama atau kursus pertama. Sebaliknya mungkin beroleh universiti dan kursus lain, atau di universiti pilihan pertama tetapi bukan kursus pilihan pertama.

Namun sekurang-kurangnya dapat tempat berbanding dengan yang tidak dapat langsung. Juga yang ditawarkan masih dalam skop pilihan calon. Sewaktu memohon melalui UPUOnline, calon dibenar menyenarai lebih satu pilihan universiti, begitu juga dengan kursus pilihan.

Senarai pilihan universiti dan kursus ibarat satu persetujuan tidak tersurat, iaitu sedia menerima tawaran UPU jika dapat lain daripada yang diminta. Kerana itu senarai pilihan bukan untuk suka-suka.

Tetapi biasalah naluri manusia, tidak puas hati jika tidak dapat yang dikehendaki. Maka mulalah meracau, mengadu ke sana sini, kononnya dapat ‘kursus lelong’. Apa yang lelong? IPTA di negara ini semua memiliki piawaian tinggi dan berketrampilan dalam semua kursus ditawarkan.

Apabila timbul isu kemasukan ke IPTA, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UPU terpaksa memberi penjelasan. Penjelasan KPT dan UPU sentiasa konsisten. Sistem permohonan UPUOnline adalah telus dan sistematik, berteras prinsip meritokrasi tanpa campur tangan pihak luar.

Prinsip meritokrasi bermakna menyusun semua calon yang layak menurut merit tertinggi hingga terendah. Kaedah ini memastikan setiap calon dapat peluang adil tanpa mengira latar belakang.

Fakta yang mesti difahami ialah pemilihan melalui UPUOnline dijana menggunakan sistem sejak bertahun-tahun lalu. Ia berdasar pemarkahan merit yang ditetapkan bersesuaian kursus atau program dipohon.

Unsur pilih kasih tidak timbul kerana proses saringan UPUOnline bersifat ‘tidak dikenali’, atau tiada nama dipaparkan semasa pemilihan. Sebaliknya pemilihan dibuat berdasar nombor siri permohonan. Kerana itu ia telus, sistematik, berstruktur tanpa campur tangan manusia.

Namun walau pun sudah kerap penjelasan diberi, masih juga ada keraguan dan pelbagai dakwaan mengenai ketelusan UPUOnline. Golongan yang mempertikai ini samaada tidak faham atau sengaja tidak mahu faham.

Calon mungkin beranggapan dia terbaik dan mesti dapat tempat. Tetapi UPU ada kriteria pemilihan. Misalnya ‘ranking’ di kalangan yang terbaik serta kesesuaian kursus berdasar subjek yang diambil dalam peperiksaan.

Pihak KPT dan UPU tidak harus terganggu dengan bantahan atau pelbagai dakwaan yang sudah jadi budaya tahunan. Kekalkan prinsip keputusan UPU adalah muktamad. Jika bantahan dibenar, dan calon boleh ‘demand’ apa dikehendaki, ia seperti membuka ‘flood gate’ yang boleh menimbulkan pelbagai kecelaruan dalam sistem pemilihan.

Oleh itu hormatilah tugas KPT dan UPU. Biar mereka laksanakan kerja tanpa gangguan, apatah lagi gangguan politik. Pemimpin politik jangan cuba menangguk di air keruh!

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews