The Malay Dilemma: Dilema Melayu yang belum selesai.. | Madani News

The Malay Dilemma: Dilema Melayu yang belum selesai..

The Malay Dilemma: Dilema Melayu yang belum selesai..

LEBIH 50 tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis The Malay Dilemma (1969) – sebuah buku yang menjadi asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia menegaskan bahawa orang Melayu hanya kuat di bidang politik, tetapi lemah dalam ekonomi dan daya saing. Jika politik tergugat, bangsa Melayu akan hilang benteng terakhir.

Hari ini, selepas separuh abad, “dilema” itu masih wujud. Bezanya, ia bukan lagi Melayu vs bukan Melayu. Ia sudah berubah menjadi Melayu elit vs Melayu biasa.

Ahli politik Melayu masih menjual retorik sama – pertahankan kuasa politik Melayu-Islam. Sama ada UMNO, PAS atau Bersatu, semua bermain dengan naratif “bangsa tergugat”. Tetapi realitinya, rakyat Melayu di kampung, bandar kecil dan flat PPR tidak menjadi lebih senang pun walaupun kuasa politik kekal di tangan orang Melayu sejak merdeka.

Ketika rakyat berhempas pulas mencari rezeki, segelintir elit politik dan kroni terus mengaut kekayaan melalui projek, konsesi, dan GLC. Inilah wajah baharu “dilema Melayu”: ketuanan politik dijadikan tameng untuk melindungi kegagalan mengurus ekonomi rakyat.

DEB dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Ya, ia berjaya melahirkan kelas menengah Melayu. Tetapi dasar itu juga melahirkan budaya rent-seeking, ketergantungan kepada kontrak kerajaan, dan kronisme yang menebal.

Hari ini, Melayu masih majoriti dalam statistik B40, sementara kekayaan negara berputar di kalangan elit politik, keluarga, dan sahabat. Yang gagal bukan Melayu biasa, tetapi sistem yang direka oleh pemimpin Melayu sendiri.

Dr Mahathir menekankan pendidikan sebagai kunci keluar. Tetapi apa yang berlaku? Sistem pendidikan hari ini melahirkan graduan menganggur, kemahiran rendah, dan tenaga kerja yang tidak bersaing di peringkat global.

Politik lebih sibuk bertengkar tentang bahasa, kuota dan naratif kaum, berbanding melabur pada pendidikan berkualiti, teknologi, dan keusahawanan. Dilema Melayu bukan kerana DNA malas, tetapi kerana kepimpinan gagal menyediakan platform persaingan sebenar.

Ironinya, Dr Mahathir sendiri dua kali menjadi Perdana Menteri – paling lama memegang kuasa dalam sejarah. Jika benar The Malay Dilemma adalah “kitab” yang mahu diselesaikan, beliau sepatutnya telah menamatkan dilema itu. Tetapi hari ini, Melayu masih ketinggalan, malah lebih parah berpecah akibat politik kuasa.

The Malay Dilemma sepatutnya menjadi amaran, tetapi ia kini jadi modal politik berulang kali. UMNO, PAS, Bersatu – semua parti Melayu menggunakan dilema ini untuk mengaut sokongan, tetapi tidak benar-benar mahu menyelesaikannya.

Hakikatnya, dilema orang Melayu hari ini bukan lagi soal dominasi Cina atau kuasa politik tergugat, tetapi soal kepimpinan Melayu yang gagal – tamak, korup dan asyik berebut kerusi.

Selagi ini tidak berubah, “dilema Melayu” akan kekal hidup – bukan kerana bangsa Melayu malas, tetapi kerana bangsanya dipimpin oleh orang yang tidak pernah mahu bangsa itu berdikari. – MADANI NEWS