Selain UK, SPRM turut siasat aset Tun Mahathir di Switzerland – Azam

“Kami masih bekerjasama dengan pihak berkuasa UK. Setakat ini masih belum ada perkembangan – Azam Baki
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatannya terhadap aset yang didakwa mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir Mohamad tidak terhad di United Kingdom (UK) sahaja, sebaliknya Switzerland turut dalam perhatian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata walaupun agensi itu terus berhubung dengan pihak berkuasa UK, ia juga memperluaskan skop siasatan.
“Ya, kami juga sedang melihat negara lain seperti Switzerland,” katanya pada sidang media, lapor FMT
Azam menambah, SPRM bekerjasama rapat dengan Pusat Penyelarasan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACCC) di UK.
“Kami masih bekerjasama dengan pihak berkuasa UK, antaranya IACCC, salah satu agensi yang membantu kami sekiranya ada aset melibatkan Mahathir.
“Setakat ini masih belum ada perkembangan,” katanya.
Awal bulan ini, Harian Metro memetik sumber sebagai berkata SPRM telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan IACCC, sebuah unit di bawah Agensi Jenayah Kebangsaan UK.
Sumber itu berkata SPRM sedang menunggu senarai rasmi aset daripada pihak berkuasa UK meliputi Kanada, Switzerland, Jepun dan UK.
Setelah diperoleh, proses undang-undang untuk penyitaan dan pelucuthakan boleh dimulakan, sepertimana tindakan yang diambil dalam kes melibatkan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Pada 11 Sept lalu, Mahathir memperlekeh kenyataan Azam mengenai siasatan itu dengan mendakwa beliau tidak mengetahui kewujudan aset sedemikian.
Secara sinis, beliau menggesa SPRM memaklumkannya supaya beliau boleh menuntut aset itu dan mendermakannya kepada golongan miskin. Beliau juga menuduh siasatan itu bermotifkan politik.
Dua hari sebelum itu, Azam menegaskan siasatan berhubung aset bekas perdana menteri itu masih berjalan, dengan tumpuan semasa di UK.
Pada April 2024, Azam dilaporkan berkata Mahathir antara individu yang disiasat berkaitan isu pengisytiharan aset. – MADANI NEWS