Solar pacu peralihan tenaga negara, perkukuh Malaysia sebagai kuasa hijau serantau | Madani News

Solar pacu peralihan tenaga negara, perkukuh Malaysia sebagai kuasa hijau serantau

Solar pacu peralihan tenaga negara, perkukuh Malaysia sebagai kuasa hijau serantau
Dato' Sri Fadillah Yusof mahu pastikan peralihan tenaga turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat.

MALAYSIA  kini berada di tengah agenda peralihan tenaga negara yang strategik dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan campuran tenaga bersih bagi mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil. 

Dalam kerangka ini, tenaga hijau khususnya solar muncul sebagai teras utama, bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat melalui penjimatan bil elektrik, peluang ekonomi baharu serta jaminan masa depan yang lebih mampan. 

Transformasi ini menandakan langkah besar ke arah mencapai ekonomi sifar karbon menjelang tahun 2050, selaras dengan komitmen global terhadap kelestarian iklim.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa cabaran utama dalam era ini adalah bagaimana menyeimbangkan tiga keperluan tenaga, iaitu kemampanan, keterjaminan dan keterjangkauan. 

Menurut beliau, trilema tenaga ini bukanlah pilihan yang bersaing, sebaliknya panggilan untuk mencari penyelesaian yang bersepadu. 

Beliau turut optimis bahawa dasar inklusif kerajaan akan terus merangsang agenda tenaga boleh diperbaharui, terutamanya solar, agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat. 

Tegasnya lagi, peralihan tenaga tidak harus dilihat hanya dari sudut teknikal semata-mata, tetapi perlu memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat.

Tenaga solar memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat dan negara. Dari segi kewangan, ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup apabila bil elektrik menjadi lebih rendah, sekali gus memberi ruang tambahan kepada isi rumah. 

Perkembangan industri solar membuka ribuan peluang pekerjaan dalam bidang teknikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pemasangan.

Dari aspek alam sekitar pula, solar berperanan penting dalam menyumbang ke arah sifar pelepasan karbon, sejajar dengan sasaran negara untuk mencapai sifar bersih. 

Kos pemasangan yang semakin mampu milik turut mendorong lebih ramai rakyat beralih kepada tenaga hijau. Jika pada tahun 2011 harga pemasangan sistem solar bagi rumah teres mencecah antara RM24,000 hingga RM30,000, kini ia telah menurun kepada sekitar RM12,000 hingga RM15,000 sahaja, menjadikannya lebih mudah dicapai.

Selain itu, perkembangan industri solar membuka ribuan peluang pekerjaan dalam bidang teknikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pemasangan, di samping menarik pelaburan asing yang berpotensi memperkukuh ekonomi negara. 

Malaysia turut menikmati kelebihan daya saing kerana lokasinya yang strategik dengan penyinaran matahari sepanjang tahun, sekali gus menjadikan negara ini tapak ideal untuk mengembangkan teknologi solar.

Kerajaan melalui PETRA juga memastikan tenaga solar dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat melalui pelbagai langkah mesra rakyat. 

Antaranya ialah penambahbaikan Program SelCo yang kini memberi pengecualian syarat storan tenaga sehingga Disember 2025, di samping semakan semula caj kapasiti.

Dalam Belanjawan 2025 pula, kerajaan memperuntukkan rebat berjumlah RM70 juta khusus untuk pembelian peralatan cekap tenaga berlabel 4 hingga 5 bintang. 

Bagi mengurangkan beban kewangan rakyat, kerajaan turut memperkenalkan model bayaran fleksibel melalui skim ansuran dan konsep modal sifar yang membolehkan isi rumah menikmati tenaga hijau tanpa kos pendahuluan yang tinggi.

Fadillah menegaskan bahawa peralihan tenaga mesti dilakukan secara adil dan saksama. 

Katanya, usaha ini bukan hanya bertujuan mengurangkan karbon, tetapi juga memastikan tiada pihak yang tercicir, termasuk pekerja daripada industri tradisional mahupun komuniti kecil di kawasan luar bandar.

Masa depan tenaga solar di Malaysia bukan sekadar berkisar tentang teknologi, tetapi turut menjadi pemacu transformasi ekonomi. 

Bermula daripada projek perumahan baharu yang mewajibkan pemasangan panel solar sehinggalah kepada integrasi tenaga boleh diperbaharui dalam grid nasional, setiap inisiatif yang dilaksanakan menyumbang kepada penambahan kapasiti tenaga hijau negara. 

Dengan kemajuan teknologi, dasar kerajaan yang progresif serta sokongan rakyat, Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050, menjadi hab solar serantau, dan memastikan rakyat terus menjadi penerima manfaat utama iaitu daripada penjimatan bil elektrik hingga kepada peluang pekerjaan hijau yang berkualiti.

“Pilihan yang kita buat hari ini akan bergema untuk dekad mendatang. Malaysia bertekad membuktikan bahawa keselamatan tenaga, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam boleh dicapai serentak, bukan bersaing antara satu sama lain,” jelas Fadillah.