“Jawatan menteri ‘satu jerat’”, kata Rafizi
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan jawatan menteri dan timbalan menteri sebagai satu “jerat” yang menguji amanah, keikhlasan serta komitmen seseorang pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab.
Dalam satu hantaran di media sosial, Rafizi mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik dalam rombakan Jemaah Menteri minggu ini, khususnya Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, yang disifatkannya sebagai rakan lama sejak sebelum penglibatan aktif dalam politik.
Rafizi turut berkongsi perjalanan awal Akmal Nasir dalam dunia politik, bermula ketika beliau masih berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor pada 2009.
Menurutnya, Akmal yang baru menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi dan sains aktuari di Amerika Syarikat ketika itu berulang kali memohon untuk bekerja dengannya, sebelum akhirnya diterima kerana kegigihan dan kesungguhan yang ditunjukkan.
Beliau berkata, Akmal kemudiannya terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penyelidikan dan siasatan, termasuk membantu mendedahkan beberapa skandal berprofil tinggi, selain aktif menggerakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor Bahru yang akhirnya membawa kepada kejayaan menawan kerusi Parlimen berkenaan.
Rafizi turut mendedahkan beliau lebih awal mengetahui ura-ura pelantikan Akmal sebagai Menteri Ekonomi dan sempat memberikan beberapa peringatan penting, antaranya bahawa jawatan dan pangkat adalah sementara, tugas perlu dilaksanakan sehabis baik, serta pujian dan kritikan tidak membawa nilai di akhirat berbanding kerja yang ikhlas.
“Jawatan menteri dan timbalan menteri itu satu jerat. Jika culas dan tidak amanah, kitalah yang akan terjerat. Tetapi jika rajin dan ikhlas, ia boleh menjadi jerat yang membawa pahala,” katanya.
Menurut Rafizi, ulasan lanjut mengenai rombakan Jemaah Menteri akan dikongsikan dalam podcast kendaliannya pada Jumaat ini, manakala kisah berkaitan Syed Ibrahim akan diceritakan dalam episod seterusnya. – MADANI NEWS
